Sabtu, 12 September 2015

GURU DAN CABARAN SEMASA : INTEGRASI NASIONAL

Konsep Integrasi Nasional

Beberapa peristiwa utama negara telah berlaku yang hampir melumpuhkan dan tidak mewujudkan peluang bagi membina perpaduan negara seperti Dasar Pecah dan Perintah yang diperkenalkan British, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan juga isu kerakyatan Jus Soli. Selanjutnya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) yang dilihat sebagai medium utama dalam merencanakan langkah bagi menyatupadukan semula rakyat-rakyat berbilang kaum di Malaysia.

           

Integrasi Nasional dalam Pendidikan
Isu integrasi nasional adalah merupakan salah satu cabaran penting dalam negara kita dan khususnya kepada para pendidik. Oleh itu, langkah yang paling berkesan untuk menangani isu tersebut adalah melalui peranan guru di sekolah. Menurut Kamus Dewan Edisi keempat Integrasi membawa maksud penggabungan atau pergabungan dua atau beberapa kaum menjadi satu kesatuan. Nasional pula memberi maksud kebangsaan. Oleh itu dapatlah dinyatakan bahawa integrasi nasional bermaksud proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segi latar belakang, situasi sosial dan budaya untuk membentuk satu entiti yang mempunyai pegangan norma, sistem nilai serta mengamalkan kehidupan bersama dan akhirnya dapat mewujudkan persefahaman dan pemikiran antara kaum disesebuah negara. Dalam kata lain Integrasi Nasional membawa maksud proses dinamik untuk merapatkan masyarakat berbilang kaum yang terdapat di Malaysia. (Noriati, 2010)

Terdapat beberapa pandangan berkaitan maksud integrasi nasional tersebut antaranya adalah menurut Shamsul Amri( 2007) integrasi adalah satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah dari segi budaya, soasial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Noriati A.Rashid (2010), pula menyatakan integrasi nasional merupakan satu proses penyatuan antara kumpulan manusia yang berbeza dari segia latar belakang, status sosial dan budaya untuk membentuk entiti yang mempunyai pegangan norma serta mengamalkan kehidupan bersama.

 

“Literature Review”
Beberapa kajian digunakan bagi memudahkan lagi pemahaman kepada konsep Integrasi Nasional dan cabaran semasa. Antara kajian yang boleh disertakan disini ialah Kajian Hubungan Kaum dalam Kalangan Pelajar Sekolah Pembangunan Sosial Uniersiti Utara Malaysia yang ditulis oleh Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah dan Prof.Madya Datin Hajah Salma Ishak yang menyatakan bahawa perpaduan antara seluruh warga masyarakat menjadi tonggak kepada keberhasilan dan keharmonian sesuatu negara. Negara kita Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik, oleh itu untuk memastikan negara sentiasa berada dalam keadaan yang aman damai, perpaduan antara warganya yang berbilang kaum tadi harus terus dipupuk dan dibajai agar ia tidak bergelora sehingga menyebabkan kepada kemusnahan negera bangsa. Untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia perlulah bermula dari akar umbinya. Dapatan kajian menunjukkan suasana atau interaksi antara kaum mempunyai hubungan yang positif dengan tahap keselesaan dalam menjalin hubungan antara kaum dan persepsi hubungan antara kaum. Dicadangkan supaya program-program yang boleh menghangatkan suasana atau iklim interaksi antara kaum dapat diperbanyakkan agar dapat membentuk suatu kehidupan yang harmoni di dalam kampus dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan di luar sana. Kajian ini juga adalah bertepatan dengan situasi yang berlaku dalam kalangan murid di sekolah.


 
Terdapat juga beberapa kajian yang mengkaji hubungan murid pelbagai etnik di sekolah. Antara kajian tersebut adalah kajian yang dibuat oleh Ibrahim (1980), Santhiram (1999) , Hazri et.al (2004) dan Joseph (2006) yang telah memberi fokus kepada mendapatkan maklumat dan gambaran tentang tahap atau senarai hubungan etnik dan faktor-faktor yang mempengaruhi interaksi dan perpaduan antara murid pelbagai etnik di sekolah. Kajian oleh Ibrahim (1980) pula telah menumpukan kepada soal mengenal pasti tahap identiti nasional dalam kalangan murid pelbagai etnik. Dapatan kajian beliau mendapati bahawa murid di kawasan luar bandar lebih tinggi dari segi iltizam mereka terhadap mengenali item-item nasional berbanding dengan murid di kawasan bandar

 

Seterusnya Kajian daripada Santhiram (1999) pula berkaitan pendidikan etnik India di Malaysia yang telah menyentuh pola persahabatan pelajar-pelajar India dengan kumpulan etnik yang berlainan di sekolah. Dapatan kajian beliau menunjukkan bahawa wujud polarisasi antara kumpulan etnik dan pelajar sering melihat perbezaan etnik dalam hubungan dengan pelajar-pelajar dari kumpulan etnik yang berbeza. Manakala kajian oleh Hazri et.al(2004) cuba mengenalpasti tahap interaksi sosial antara murid pelbagai etnik di sekolah menengah. Dapatan daripada kajian ini menunjukkan tahap interaksi sosial murid pelbagai etnik dipengaruhi oleh situasi , latar belakang sosial, tahap keetnikan, prasangka murid dan juga polisi sekolah. Joseph (2006) pula mengkaji pembentukan identiti keetnikan dalam kalangan murid perempuan di sekolah-sekolah Malaysia. Kajian beliau mendapati polisi mempengaruhi pemikiran murid dalam pembentukan identiti keetnikan. Hazri (2008) pula telah menganalisis polisi di peringkat nasional dalam mencapai matlamat perpaduan melalui pendidikan. Kajian beliau mendapati terdapat perbezaan perspektif dan ideologi terhadap polisi-polisi untuk perpaduan yang telah dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan